Salam
Edisi kali ini agak berbeza dari sebelumnya. Ini kerana kami The Others mencari kelainan. Takkan asyik nak pergi tempat hantu je ye tak? Jadi kami pilih untuk membuat aktiviti yang dah lama kami tinggalkan haha. Kesihatan harus dijaga juga. Kalau sakit nanti susah. Jadi kami telah memilih untuk membuat aktiviti hiking ke Bukit Broga.
Trivia Bukit Broga
Lokasi
Broga atau Beroga adalah sebuah pekan berhampiran dengan Semenyih, Selangor Darul Ehsan. Ia terletak di antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Broga terletak 12 km ke Barat bandar Semenyih dan 50 km dari Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Simpang ke Broga ialah di hadapan stesen minyak Petronas Semenyih. Jalan ini boleh menuju ke Ladang Balau, Taman Tasik Semenyih, Universiti Nottingham cawangan Semenyih, pusat latihan dan ujian memandu kereta, berjumpa dengan dengan Kampung Tarun dan seterusnya Balai Polis Broga sehinggalah masuk ke sempadan Negeri Sembilan.Muka bumi Broga
Jalan menuju ke Broga berliku-liku yang mempunyai selekoh maut di mana-mana. Pandulah kereta sekitar 50 km/j sahaja jika berada di sini. Namun begitu di sinilah terletaknya projek perumahan berprestij yang dinamakan Taman Tasik Semenyih.Asal nama Beroga
Nama Broga diambil sempena nama Sungai Beroga.Beroga berasal dari kata Buragas, iaitu raksasa yang sangat besar dan ganas, hidup di dalam tanah, sesekali keluar mandi di kawasan air terjun. Tanda-tanda Buragas akan keluar ialah apabila hujan panas pada waktu tengah hari. Ketika itu pasti ada darah tumpah akibat pertarungan antara dua jejaka. Buragas akan keluar mencari dua jejaka tersebut dan memusnahkan kedua-duanya serta kampung halaman.
------------------------------------------------------------------------
Jadi pada pagi itu, kami telah bertolak ke Bukit Broga pada subuh hari untuk melihat matahari naik katanya. Kami mengikuti jalan MRR2 menuju ke Kajang dan masuk ke simpang Kajang. Setelah itu kami mengikut jalan menuju ke Semenyih. Selepas melalui Semenyih, anda akan nampak papan tanda simpang ke Broga di sebelah kiri. Masuk sahaja simpang kiri tersebut anda akan melaui jalan bengkang-bengkok dan anda akan dapat lihat Kolej Notthingam di sebelah kiri dan anda terus sehingga sampai ke kawasan ladang kelapa sawit dimana anda akan nampak banyak kereta diletakkan di tepi jalan. Kesemuanya hendak mendaki bukit Broga.
Setelah meletak kenderaan, kami pun bergerak masuk ke kawasan ladang kelapa sawit. Perlu diingatkan anda perlu ke tandas sebelum sampai ke situ kerana di sana tiada tandas awam. Selepas melakukan senaman ringan pemanas badan, kami mula bergerak menuju ke kaki bukit.
Memang ramai yang mendaki pada hari itu, maklumlah hari minggu memang tempat itu menjadi tumpuan terutamanya kaum cina dan juga penggemar fotografi.
Kami menyusuri kaki bukit bersama berpuluh-puluh orang yang turut serta mendaki. keadaan muka bumi di Broga memang curam dan ini melambatkan pendakian kami kerana selain tanah liat yang licin, kami juga susah untuk mencari tanah yang rata. Mujurlah kehadiran ramai pendaki menghilangkan rasa letih sebaliknya menambahkan rasa seronok dan teruja.
Setelah kira-kira 35 minit berlalu, kami tiba di dataran pertama. Di situ sudah ramai yang berhimpun untuk mengambil gambar matahari naik dan juga pemandangan dari tanah tinggi. Sungguh ramai orang seperti pasar malam. Kami juga tidak ketinggalan mengambil beberapa shot-shot menarik dan juga bergambar bersama pedaki lain seperti bersama pendaki Korea.
Setelah puas bergambar, suhu menjadi semakin panas kerana dataran pertama memang terbuka dan pancaran matahari tepat ke arah kami. kami meneruskan pendakian ke arah puncak broga. Kami berhenti di beberapa tempat menarik untuk bergambar. Kami juga sempat bertukar-tukar gambar dengan pendaki lain dan juga bertukar blog untuk mereka melihat shot kami dan kami juga dapat melihat foto kami yang diambil mereka.
Kami berhenti disatu kawasan untuk berkhemah untuk mengambil gambar dan pada masa ini, kasut Ergo telah terkoyak dibahagian tapak. Ini menyebabkan Surfinv dan Black sahaja yang meneruskan pendakian sehingga ke puncak broga, Endi dan Ergo terus turun ke bawah.
Sampai di bawah puncak Broga, pendakian menjadi lebih curam dan susah. Surfinv dan juga Black juga tidak memakai kasut yang sesuai telah menyebabkan pendakian bertambah susah tetapi alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke puncak haha. Surfinv dan Black berjaya juga untuk sampai ke puncak dan bergambar di atas batu yang paling tinggi.
Walaupun penat tetapi berbaloi kerana misi telah berjaya.
Ini adalah gambar-gambar yang sempat untuk kami rakamkan sebagai kenangan bersama pembaca. Terima kasih kerana memberi sokongan sehingga ke hari ini. Kami juga perlukan rehat hehehe jadi cuti sekejap ok...
Melihat matahari naik di Broga
------------------------------------------------------------------------
Puncak Bukit |
1 komen:
seronok seyy....been there..nak naik lagik nnt...
Post a Comment